|
Kegagalan Ginjal
Gagal Ginjal: Harga Yang Mahal Untuk Dibayar?

Oleh Zulkiple Ibrahim Sempena Hari Ginjal Sedunia pada 12 Mac KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pada tahun 1996, doktor memberitahu seorang eksekutif berumur 38 tahun mengenai tekanan darah tinggi yang dialami dan menasihati beliau supaya mengambil ubat serta mengawal pemakanan. "Ketika itu tekanan darah saya sentiasa mencecah 190/100 atau lebih. Walaupun diberitahu supaya mengawal tekanan darah tinggi dengan mengambil ubat, saya lebih senang hanya ambil ubat tradisional yang lain atas cadangan rakan dan keluarga", menurut eksekutif tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Noor dari Kepong. Lima tahun kemudian iaitu pada 2001, satu pemeriksaan rutin sampel air kencing Mohd Noor menunjukkan ada kandungan protein menyebabkan doktor menerangkan beliau menghidapi kegagalan ginjal (buah pinggang) yang kronik. "Biarpun doktor menasihati saya mengambil ubat, saya lebih suka minum ubat-ubat herba dan akar kayu nak kurangkan tekanan darah tinggi serta cuci darah dan buah pinggang. "Tapi ujian-ujian lanjut menunjukkan tahap kretinina dan urea dalam darah semakin meningkat dengan begitu cepat. Ianya sudah terlambat (untuk berbuat sesuatu) dan pada penghujung tahun 2003 saya terpaksa menjalani rawatan dialisis", beliau memberitahu penulis ini. Sebelum menjalani dialisis, kehidupan harian Mohd Noor menjadi begitu sengsara kerana beliau tidak boleh tidur berbaring sambil menelentang. "Saya tidak boleh telentang atas katil dan saya terpaksa tidur atas kerusi malas kerana kesukaran bernafas. Saya mula batuk berair dan air kencing saya mula mengurang. "Seluruh badan saya membengkak dan kembung dengan air. Doktor kata banyak air bertakung dalam badan dan saya terpaksa menjalani rawatan dialisis kecemasan melalui leher", kata Mohd Noor yang juga menghidapi kencing manis. Disebabkan Mohd Noor juga mengalami masalah jantung, doktor menasihati beliau menjalani dialisis peritoneal berterusan secara ambulantori (Continuous Ambulantory Peritoneal Dialysis) yang lebih dikenali sebagai CAPD. Menurut seorang pakar nefrologi, dalam kaedah CAPD dialisis berlaku dalam badan di mana lapisan peritoneum (selaput organ dalam abdomen) terlibat. "Peritoneum bertindak sebagai membran dialisis. Untuk kaedah CAPD anda perlu menjalani satu pembedahan kecil untuk memasukkan satu catheter ke dalam abdomen anda", kata beliau. CAPD boleh dilakukan di rumah atau di pejabat jika ada bilik yang bersih dan sesuai. Ianya dilakukan empat kali sehari iaitu enam jam sekali untuk memastikan kebersihan darah dari sisa toksik. Kaedah ini mengambil masa lebih kurang 30 minit dan prosedurnya tidak mendatangkan kesakitan. "Bagaimana pun ada masalah kerana saya tidak dapat menjalani pusingan CAPD dengan cukup. Saya hanya buat tiga kali dari empat kali sehari melainkan hari cuti. "Jadi pengeluaran bahan-bahan toksik dari darah tak mencukupi dan saya terpaksa menjalani rawatan hemodialisis selama tiga kali seminggu", kata Mohd Noor. HEMODIALISIS Dalam kaedah hemodialisis, darah akan dilalukan melalui 'dialiser' dalam mesin hemodialisis yang menuras (menapis) kandungan darah. Sebelum menjalani hemodialisis pesakit perlu menjalani 'pembentukkan fistula' di tangan atau lengan mereka. Menurut pakar nefrologi tersebut: "Sebelum fistula itu membentuk dengan baik, satu catheter terpaksa dilekatkan secara sementara pada salah satu salur darah di leher anda. Kaedah ini membenarkan anda menjalani rawatan hemodialisis sehinggalah fistula tersebut bersedia untuk kaedah rawatan ini". "Biasanya pesakit memerlukan tiga sesi hemodialisis seminggu dan setiap sesi adalah empat jam". Menurut beliau, pesakit akan berasa lebih segar dan sihat selepas menjalani rawatan dialisis selepas dua atau tiga minggu tetapi rawatan tersebut juga mempunyai kesan sampingan. "Rawatan hemodialisis memang memenatkan. Pesakit dinasihatkan jangan terlalu aktif selepas rawatan. Setelah anda biasa dengan rawatan tersebut, anda akan mengalami peningkatan dalam tahap kesihatan", kata beliau. Sementara bagi pesakit buah pinggang yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah, kos yang perlu dibayar sebagai pesakit adalah tinggi. "Setiap kali cuci darah kena bayar RM150 tak termasuk ubat. Nasib baiklah saya ni orang pencen, kalau tak parah juga". Itulah kata-kata seorang pesakit gagal buah pinggang yang mahu dikenali sebagai Kak Mah kepada penulis ini baru-baru ini. Menurut Kak Mah, cuci buah pinggang atau hemodialisis memang mengambil masa yang sangat lama. "Proses tu saja dah makan empat jam. Nak kena tunggu giliran saja kadang-kadang sampai dua jam. Nak kena bayar letak kereta lagi. Kalau tak ada bantuan kerajaan satu kali datang (ke pusat hemodialisis) mahu habis dalam RM200", kata beliau. Kak Mah, 60, mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir (ESRF) dan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis semenjak berumur 45 tahun. "Masa tu doktor kata darah tinggi (saya) begitu tinggi. Saya juga ada kencing manis dan sebab tulah kedua-dua buah pinggang saya dah rosak", katanya. KOS YANG MAHAL "Jagalah buah pinggang anda kerana kos rawatan hemodialisis memang mahal", menurut seorang pegawai perubatan yang mahu di kenali sebagai Dr Maher. Menurut Dr Maher buah pinggang atau ginjal 'menuras' (menapis atau membersihkan) darah dari bahan kumuhan dan toksik seperti kreatinina dan urea serta lebihan cecair. "Ginjal juga mengawal tekanan darah, bilangan sel darah merah serta kandungan kalsium badan. Sebab itulah bagi pesakit yang gagal buah pinggang, mereka juga akan mengalami hipertensi, anemia dan osteoporosis", kata beliau. ADAKAH BOLEH DIRAWAT? Kegagalan ginjal secara kronik boleh berlaku dalam situasi tekanan darah tinggi yang melampau serta penyakit lain seperti diabetis tidak terkawal dan jangkitan kuman serta juga nefritis dan batu karang. "Penyakit ginjal boleh dirawat pada tahap awal tapi boleh juga membawa maut dalam keadaan yang teruk", kata Dr Maher. Kata beliau rawatan ginjal termasuklah kawalan diet seperti kawalan terhadap pengambilan garam, protein serta air. "Pengambilan diuretik (ubat untuk melawaskan kencing) boleh mengelak air dari bertakung dalam badan manakala antibiotik perlu jika ada jangkitan kuman. Terdapat juga ubat-ubat khas untuk masalah nefritis manakala pembedahan boleh dijalankan untuk membuang batu karang. KOS TINGGI Menurut Dr Maher, pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis boleh bekerja seperti biasa. "Mereka digalakkan bekerja. Bagaimanapun ini amat meletihkan. "Sokongan emosi di rumah dan tempat kerja adalah penting. Majikan perlu diberitahu yang anda sedang menjalani rawatan tersebut dan pengawasan serta penilaian perubatan diperlukan untuk mengetahui sama ada pesakit hemodialisis boleh berada dalam keadaan stabil untuk bekerja", kata beliau. Beliau berkata majikan perlu diberitahu mengenai jadual dialisis dan jadual bekerja pesakit mestilah diatur mengikut keperluan dialisis pesakit. Hari Ginjal Sedunia adalah sebahagian dari kempen tentang kepentingan buah pinggang sebagai organ badan manusia. Hari Ginjal disambut pada setiap hari Khamis kedua pada bulan Mac di 100 buah negara di seluruh dunia. Kempen tahun ini ialah pada 12 Mac dan memberi fokus penyakit darah tinggi sebagai satu dari daripada faktor penyebab utama penyakit gagal buah pinggang. -- BERNAMA |